Saturday, 5 November 2011

PENGALAMAN YANG TIDAK DAPAT SAYA LUPAKAN SEMASA HARI RAYA PUASA

            Setiap individu mesti mempunyai pengalaman yang tidak dapat dilupakan dalam kehidupan masing-masing. Tidak kira sama ada pengalaman pahit atau manis. Saya ingin berkongsi pengalaman yang tidak dapat dilupakan semasa hari raya puasa. Apabila kita bercerita mengenai hari raya puasa, pasti ramai diantara kita yang akan tersenyum dan gembira kan? Hehe.
            Masih segar di ingatan saya, pada hari raya puasa yang lepas, semua sanak-saudara telah sepakat untuk pulang beraya di rumah nenek yang terletak di Kedah. Kepulangan sanak-saudara ke kampung telah memeriahkan lagi suasana perayaan di rumah nenek. Kami bersama-sama telah bergotong-royong untuk menyiapkan persiapan raya. Kami berasa amat gembira apabila dapat mengikuti datuk ke dalam hutan ketika mencari buluh untuk dijadikan lemang dan panjut iaitu memasang pelita bagi memeriahkan lagi sambutan hari raya puasa.
            Selama ini saya tidak mengetahui cara untuk menyediakan panjut dan lemang. Tetapi saya berasa sangat bertuah kerana dapat melihat cara-cara untuk menyediakan panjut. Untuk menyediakan panjut, kita memerlukan buluh, minyak tanah, kain, dan gergaji. Buluh perlu dipotong mengikut panjang yang bersesuaian. Kemudian, lubang akan ditebuk pada bahagian atas batang buluh bagi mengisi minyak tanah dan kain untuk menyalakan pelita. Panjut ini akan dipasang keliling kampung dan setiap rumah juga memasang lampu berwarna-warni di rumah masing-masing. Sungguh cantik dan meriah!
            Saya dan sanak-saudara juga turut  bergotong-royong menyediakan ketupat, lemang, kuih-muih dan rendang. Saya berpeluang mempelajari cara-cara untuk menyediakan juadah-juadah tersebut. Antaranya, seperti kuih bahulu, kuih semperit, kuih loyang dan sebagainya. Kebanyakannya merupakan resepi dari nenek. Saya juga berasa sangat bertuah kerana dapat mempelajari cara untuk membuat ketupat palas yang sangat terkenal di negeri Kedah kerana tidak semua orang tahu cara untuk membuat ketupat palas ini. Selain itu, kami turut mengecat rumah nenek dan memasang langsir bersama-sama. Walaupun agak keletihan, kami berasa sangat gembira dan ini merupakan pengalaman yang tidak dapat saya lupakan pada hari raya puasa yang lepas. :-)

Wednesday, 2 November 2011

PERSIAPAN SAYA UNTUK PEPERIKSAAN AKHIR

Peperiksaan akhir? saat yang paling digeruni oleh para penuntut institusi pengajian tinggi di seluruh negara. huhu.. bak kata orang putih, just around the corner...kalau diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia, saat yang semakin hampir tiba. Pelbagai ragam yang dapat dilihat menjelang peperiksaan akhir di setiap institusi pengajian tinggi. Ada pelajar yang mengambil peluang ini  untuk bertapa di perpustakaan untuk  mengulangkaji pelajaran, ada pula yang memilih untuk mengulangkaji sambil bersantai di tepi tasik, taman dan  sebagainya secara bersendirian atau pun bersama rakan-rakan seperjuangan. Ada juga yang memilih  untuk menghabiskan masa bersuka-ria bersama teman-teman ke pusat membeli-belah dan sebagainya dan membuat keputusan untuk mengulangkaji pada saat-saat akhir  ketika tibanya hari peperiksaan nanti. Seperti kata pepatah, banyak udang, banyak garam, banyak orang, banyaklah ragam.

       Persiapan saya untuk peperiksaan akhir? seperti pelajar lain, saya juga sangat gementar setiap kali menjelangnya peperiksaan akhir. Saya lebih gemar menyediakan nota-nota ringkas untuk setiap subjek yang telah saya pelajari. Contohnya, untuk semester ini saya akan menghadapi tiga kertas peperiksaan akhir iaitu Shorthand, Trengkas dan Personality Development. Selain menyediakan nota-nota ringkas untuk setiap subjek, saya juga gemar ke perpustakaan untuk melihat kertas-kertas soalan peperiksaan akhir semester-semester lepas. Selain itu, saya juga akan mengumpul dan mengulangi menjawab soalan-soalan yang terdapat di dalam kuiz-kuiz yang saya telah saya lalui. Saya juga sentiasa bertanya dan berbincang dengan rakan-rakan mengenai soalan-soalan yang tidak difahami. Untuk mengurangkan tekanan dan gugup di dalam diri, saya juga sering mengamalkan bacaan Al-Quran dan  solat sunat. Ustaz sering berpesan, kita seharusnya mendekatkan diri kepada Allah. Setelah berusaha, kita hendaklah bertawakal dan banyakkan berdoa agar beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat.

Tuesday, 1 November 2011

HARI PERTAMA SAYA DI PTSS

           PTSS. Betapa girangnya hati saya ketika pertama kali menjejakkan kaki di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin. Terlalu banyak yang saya ingin ceritakan. Hari pertama iaitu hari pendaftaran. Masih segar di ingatan, pada pagi yang mendamaikan iaitu pada pukul 6.30 pagi. Saya sudah siap memakai baju kurung bewarna oren. Ketika itu, hanya Tuhan yang tahu apa yang saya rasakan. Perasaan gembira kerana dapat melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi yang telah lama saya idamkan dalam hidup. Tetapi dalam gembira ada juga perasaan bimbang di dalam diri sama ada saya dapat menyesuaikan diri berjauhan dari ibu yang tersayang kerana selama ini, saya sering bersama ibu dan saya juga turut tertanya-tanya di dalam diri sama ada saya telah bersedia  untuk memulakan kehidupan sebagai seorang pelajar politeknik serta turut memikirkan pelbagai kemungkinan yang bakal berlaku nanti.. Ibu bersama dua orang sepupu saya iaitu Ila dan Ain telah menemani saya menaiki teksi untuk hadir ke sesi pendaftaran pelajar baru sesi Disember 2010/2011 di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin. Kami telah menaiki Teksi dari Hotel T Changlun pada pukul 7.00 pagi dan selamat tiba di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin pada pukul 7.30 pagi. Ketika di tempat letak kenderaan, perasaan saya semakin gementar kerana semakin hampir untuk mendaftarkan diri sebagai seorang pelajar politeknik. Semua pelajar baru dikehendaki membawa barang-barang  dan berkumpul di kafetaria untuk mengambil kunci bilik masing-masing. Jarak dari tempat meletakkan kenderaan dengan kafetaria agak jauh dan saya bersama ibu serta dua orang sepupu telah bersama-sama mengangkat barang-barang untuk ke kafetaria. Agak sayu hati saya apabila melihat ibu turut membantu saya mengangkat barang-barang yang dibawa saya iaitu sebanyak tiga buah beg. Lebih sayu lagi bila saya melihat beberapa orang pelajar baru telah membiarkan ibu bapa yang telah uzur mengangkat beg-beg mereka walhal mereka hanya melihat dan ada juga yang sibuk menghantar khidmat pesanan ringkas dan asyik berbual-bual menggunakan telefon bimbit masing-masing.
Setelah mengambil kunci bilik masing-masing, pelajar-pelajar baru dibenarkan untuk melihat dan mengemas barang-barang di bilik. Saya telah mendapat bilik di blok B1 iaitu B1 1.4. Setelah selesai meletak barang di bilik, pelajar-pelajar baru telah diminta berkumpul di kafetaria. Para waris diminta bersurai dan meninggalkan anak mereka di kafetaria. Betapa sedihnya saya rasa apabila bersalaman dengan ibu ketika ingin berpisah di situ. Tidak dapat menahan air mata dan perasaan sebak di hati. Pelajar-pelajar baru yang lain juga begitu.
Setelah para waris beransur pulang, maka bermulalah kehidupan kami sebagai pelajar di politeknik.