PTSS. Betapa girangnya hati saya ketika pertama kali menjejakkan kaki di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin. Terlalu banyak yang saya ingin ceritakan. Hari pertama iaitu hari pendaftaran. Masih segar di ingatan, pada pagi yang mendamaikan iaitu pada pukul 6.30 pagi. Saya sudah siap memakai baju kurung bewarna oren. Ketika itu, hanya Tuhan yang tahu apa yang saya rasakan. Perasaan gembira kerana dapat melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi yang telah lama saya idamkan dalam hidup. Tetapi dalam gembira ada juga perasaan bimbang di dalam diri sama ada saya dapat menyesuaikan diri berjauhan dari ibu yang tersayang kerana selama ini, saya sering bersama ibu dan saya juga turut tertanya-tanya di dalam diri sama ada saya telah bersedia untuk memulakan kehidupan sebagai seorang pelajar politeknik serta turut memikirkan pelbagai kemungkinan yang bakal berlaku nanti.. Ibu bersama dua orang sepupu saya iaitu Ila dan Ain telah menemani saya menaiki teksi untuk hadir ke sesi pendaftaran pelajar baru sesi Disember 2010/2011 di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin. Kami telah menaiki Teksi dari Hotel T Changlun pada pukul 7.00 pagi dan selamat tiba di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin pada pukul 7.30 pagi. Ketika di tempat letak kenderaan, perasaan saya semakin gementar kerana semakin hampir untuk mendaftarkan diri sebagai seorang pelajar politeknik. Semua pelajar baru dikehendaki membawa barang-barang dan berkumpul di kafetaria untuk mengambil kunci bilik masing-masing. Jarak dari tempat meletakkan kenderaan dengan kafetaria agak jauh dan saya bersama ibu serta dua orang sepupu telah bersama-sama mengangkat barang-barang untuk ke kafetaria. Agak sayu hati saya apabila melihat ibu turut membantu saya mengangkat barang-barang yang dibawa saya iaitu sebanyak tiga buah beg. Lebih sayu lagi bila saya melihat beberapa orang pelajar baru telah membiarkan ibu bapa yang telah uzur mengangkat beg-beg mereka walhal mereka hanya melihat dan ada juga yang sibuk menghantar khidmat pesanan ringkas dan asyik berbual-bual menggunakan telefon bimbit masing-masing.
Setelah mengambil kunci bilik masing-masing, pelajar-pelajar baru dibenarkan untuk melihat dan mengemas barang-barang di bilik. Saya telah mendapat bilik di blok B1 iaitu B1 1.4. Setelah selesai meletak barang di bilik, pelajar-pelajar baru telah diminta berkumpul di kafetaria. Para waris diminta bersurai dan meninggalkan anak mereka di kafetaria. Betapa sedihnya saya rasa apabila bersalaman dengan ibu ketika ingin berpisah di situ. Tidak dapat menahan air mata dan perasaan sebak di hati. Pelajar-pelajar baru yang lain juga begitu.
Setelah para waris beransur pulang, maka bermulalah kehidupan kami sebagai pelajar di politeknik.
No comments:
Post a Comment