Setiap individu mesti mempunyai pengalaman yang tidak dapat dilupakan dalam kehidupan masing-masing. Tidak kira sama ada pengalaman pahit atau manis. Saya ingin berkongsi pengalaman yang tidak dapat dilupakan semasa hari raya puasa. Apabila kita bercerita mengenai hari raya puasa, pasti ramai diantara kita yang akan tersenyum dan gembira kan? Hehe.
Masih segar di ingatan saya, pada hari raya puasa yang lepas, semua sanak-saudara telah sepakat untuk pulang beraya di rumah nenek yang terletak di Kedah. Kepulangan sanak-saudara ke kampung telah memeriahkan lagi suasana perayaan di rumah nenek. Kami bersama-sama telah bergotong-royong untuk menyiapkan persiapan raya. Kami berasa amat gembira apabila dapat mengikuti datuk ke dalam hutan ketika mencari buluh untuk dijadikan lemang dan panjut iaitu memasang pelita bagi memeriahkan lagi sambutan hari raya puasa.
Selama ini saya tidak mengetahui cara untuk menyediakan panjut dan lemang. Tetapi saya berasa sangat bertuah kerana dapat melihat cara-cara untuk menyediakan panjut. Untuk menyediakan panjut, kita memerlukan buluh, minyak tanah, kain, dan gergaji. Buluh perlu dipotong mengikut panjang yang bersesuaian. Kemudian, lubang akan ditebuk pada bahagian atas batang buluh bagi mengisi minyak tanah dan kain untuk menyalakan pelita. Panjut ini akan dipasang keliling kampung dan setiap rumah juga memasang lampu berwarna-warni di rumah masing-masing. Sungguh cantik dan meriah!
Saya dan sanak-saudara juga turut bergotong-royong menyediakan ketupat, lemang, kuih-muih dan rendang. Saya berpeluang mempelajari cara-cara untuk menyediakan juadah-juadah tersebut. Antaranya, seperti kuih bahulu, kuih semperit, kuih loyang dan sebagainya. Kebanyakannya merupakan resepi dari nenek. Saya juga berasa sangat bertuah kerana dapat mempelajari cara untuk membuat ketupat palas yang sangat terkenal di negeri Kedah kerana tidak semua orang tahu cara untuk membuat ketupat palas ini. Selain itu, kami turut mengecat rumah nenek dan memasang langsir bersama-sama. Walaupun agak keletihan, kami berasa sangat gembira dan ini merupakan pengalaman yang tidak dapat saya lupakan pada hari raya puasa yang lepas. :-)
No comments:
Post a Comment